HUKUM MENGGUNAKAN NADA DERING ALQURAN

Kongsikan di



Setelah meneliti setiap pandangan ahli muzakarah dan hujah-hujah yang dikemukakan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 08/2016-1437H yang bersidang pada 28 September 2016 bersamaan 26 Zulhijjah 1437H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-77 berkenaan Hukum Penggunaan Ayat-Ayat al-Quran Dan Laungan Azan Dalam Nada Dering Dan Paparan Skrin Di Dalam Telefon Bimbit  dengan sighah seperti berikut : 
  1. Penggunaan ayat-ayat suci al-Quran sebagai nada dering di dalam telefon bimbit adalah dilarang.
  2. Mana-mana laungan azan/zikrullah dibenarkan penggunaannya dengan menjaga adab-adab dan digunakan di tempat-tempat yang tidak mencemarkan kesucian ayat-ayat tersebut seperti di dalam tandas.

Hujah dan dalil
Dalil tuntutan untuk menjaga kesucian al-Quran ialah Firman Allah SWT:

إِنَّهُۥ لَقُرۡءَانٞ كَرِيمٞ ٧٧  فِي كِتَٰبٖ مَّكۡنُونٖ ٧٨ لَّا يَمَسُّهُۥٓ إِلَّا ٱلۡمُطَهَّرُونَ ٧٩

Maksudnya: Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah al-Quran yang mulia, yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan. Yang tersimpan dalam kitab yang cukup terpelihara. Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui suci   bersih. Surah al-Waqiah: 77-79.

  1. Para ulama Islam telah menetapkan hukum dan adab tertentu kepada individu yang ingin memegang, membawa, membaca, menulis, menjual dan melupuskan al-Quran.
  2. Sehubungan itu, apa-apa jua bentuk dan keadaan yang boleh disifatkan menghina al-Quran sama ada melalui perbuatan, tulisan, perkataan dan sebagainya hendaklah dihindari oleh orang Islam. Orang yang sengaja mempersenda dan menghina al-Quran melalui perkataan atau perbuatan maka ia boleh dihukum kafir. Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ menyatakan:

    “Dan seseorang yang dengan sengaja mempermain al-Quran atau sebahagian daripadanya atau sengaja mencampakkan mushaf ke tempat kotor atau mendustai apa-apa hukum yang dinyatakan di dalamnya atau menafikan apa-apa yang telah sabit atau ragu-ragu dengan al-Quran sedangkan dia mengetahui perkara tersebut maka hukumnya kafir”
  3. Baginda Rasulullah SAW sendiri turut memuliakan tulisan yang mengandungi zikir atau nama-nama yang mulia. Anas r.a pernah meriwayatkan bahawa Nabi SAW apabila memasuki tandas, baginda SAW menanggalkan cincinnya. Para fuqaha menyatakan sebab Nabi SAW tidak membawa masuk cincinnya ialah kerana pada cincinnya tertulis perkataan “Muhammad Rasulullah”.
  4. Para fuqaha dalam memastikan kemuliaan al-Quran menyatakan, ia hendaklah dibaca di tempat yang bersih. Sehubungan itu, fuqaha Hanafiah, Malikiah, Syafiiyyah dan Hanabilah menghukum makruh membaca al-Quran di tempat-tempat yang kotor seperti tempat mandi dan tempat buangan najis.
  5. Berkaitan penulisan al-Quran di dinding termasuk dinding masjid, rumah dan sebagainya, para imam besar mazhab sepakat mengatakan adalah makruh menulis sesuatu daripada al-Quran di dinding masjid.
  6. Berdasarkan hukum yang dikemukakan di atas juga, maka penggunaan ayat-ayat suci al-Quran, laungan azan dan seumpamanya dalam nada dering dan paparan skrin dalam telefon bimbit boleh diqiaskan kepada beberapa permasalahan hukum seperti yang disebutkan di atas kerana illahnya sama iaitu memastikan unsur penghinaan kepada al-Quran tidak berlaku.

Status Pewartaan : Tidak diwartakan
Sumber : muftins
loading...

0 Response to "HUKUM MENGGUNAKAN NADA DERING ALQURAN"

Post a Comment