Pemilik Pusat Rawatan Islam Yang Kenakan Caj RM32,800 Adalah Pemegang Kad OKU Mental

Kongsikan di
MELAKA -  Salah seorang daripada pasangan suami isteri pengusaha pusat rawatan alternatif di Jasin yang menjadi kontroversi, dikesan merupakan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
perubatan islam, pusat rawatan islam, rawatan islam, pusat perubatan islam

Lebih mengejutkan, individu berkenaan juga seorang pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Burhanuddin Bachik yang mengesahkan perkara demikian berkata, individu berkenaan menerima elaun pekerja cacat (EPC) sebanyak RM350 sebulan.

“Salah seorang pasangan itu penerima bantuan JKM sebanyak RM350 sebulan yang telah diluluskan sejak 2014 dan diteruskan lagi hingga tahun ini.

“Dari segi penerimaan bantuan itu, kajian semula akan dijalankan JKM bagi menentukan bantuan layak disambung semula mahupun tidak,” katanya.

Selain itu, katanya, individu berkenaan juga dikesan memegang kad OKU mental sejak 2012.

“Memang benar dia juga pemegang kad OKU yang dikeluarkan JKM disebabkan dia disahkan mempunyai sakit mental.

“Sebelum mengeluarkan kad OKU, pengesahan daripada doktor diperlukan bagi menentukan seseorang itu OKU dari segi apa,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Selasa lalu, pusat perubatan alternatif yang dijalankan di sebuah taman perumahan di Serkam oleh pasangan suami isteri itu menjadi viral berikutan mengenakan caj melampau sehingga mencecah RM32,800.

Tindakan itu menyebabkan ia dikecam netizen yang menyifatkan caj dikenakan melampau serta menggunakan agama untuk mengaut keuntungan.

Berikutan kejadian itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri menyerbu dan membuat pemeriksaan sebelum mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan kepada pemilik premis kerana mengenakan harga tinggi kepada pengguna.

Selain itu, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) juga mengenakan kompaun terhadap pemilik premis kerana menjalankan perniagaan dan mempamerkan iklan tanpa lesen.

Kelmarin, pemilik pusat rawatan berkenaan mengambil keputusan menghentikan serta-merta perkhidmatannya dan tidak akan beroperasi selamanya.
loading...

0 Response to "Pemilik Pusat Rawatan Islam Yang Kenakan Caj RM32,800 Adalah Pemegang Kad OKU Mental"

Post a Comment