VAKSIN?! Pandangan vaksin menurut islam. PERLU BACA!!

Kongsikan di



Salah faham dan kegusaran dalam masyarakat terhadap isu pemvaksinan menimbulkan polemik yang berterusan. Dalam dunia kesihatan hari ini, tidak dapat dinafikan bahawa pemberian suntikan vaksin kepada kanak-kanak merupakan satu tahap atau proses yang penting untuk pencegahan penyakit berjangkit tertentu. Ini kerana pembasmian dan pengurangan kadar penyakit cegahan vaksin dalam kalangan kanak-kanak mampu meningkatkan jangka hayat dan kualiti hidup seseorang.
Dalam merungkai dilema masyarakat berkaitan pemvaksinan, selain usaha yang digembleng  untuk meningkatkan kesedaran dan kadar liputan imunisasi, perlu juga ada penelitian dan pertimbangan hukum menurut kerangka maqasid syariah. Pertimbangan ini akan menentukan justifikasi ibu bapa dalam membuat pilihan sama ada menerima atau menolak vaksin. Walau apapun, sebagai umat Islam, perlu menilai dan memilih di antara perkara yang boleh membawa manfaat atau kerosakan kepada zuriat keturunan mereka seterusnya kepentingan masyarakat umum.
Pertembungan di antara maslahah (kebaikan) dan mafsadah (kerosakan) seringkali menjadi kayu ukur tentang sesuatu perkara. Maka, memilih perkara yang mendatangkan manfaat dan menolak kemudaratan adalah perkara yang dituntut dalam Islam selari dengan matlamat syariah yang digariskan iaitu ‘jalbu al-masalih wa dar’u al-mafasid’ (meraih kemaslahatan dan menolak kemafsadatan). Walau bagaimanapun, penilaian dan penelitian yang khusus perlu dibuat untuk memperincikan baik buruk sesuatu perkara khususnya dalam isu pemvaksinan.
Objektif syariah adalah mementingkan kemaslahatan berbanding kemudaratan, maka implikasi yang timbul daripada pemvaksinan perlu diambil kira dalam mengaplikasikan maqasid syariah berkaitan isu yang diperkatakan. Namun, apabila terdapat dua manfaat yang bertembung, maka perlu diraikan kemaslahatan yang membawa kesan kepada kelompok masyarakat yang lebih besar berbanding kepentingan individu. Terdapat segelintir masyarakat yang menolak vaksin kerana mempercayai gaya hidup sihat dapat mengelakkan daripada berlaku jangkitan penyakit. Maka, mereka cenderung untuk memilih mendapatkan rawatan alternatif serta mengambil suplemen yang dikatakan mempunyai fungsi meningkatkan imuniti badan berbanding pemvaksinan. Walau bagaimanapun, suplemen atau rawatan alternatif tidak berfungsi memberi kesan perlindungan kepada penyakit cegahan vaksin secara khusus.
Tambahan pula, rawatan alternatif belum dibuktikan memberi perlindungan menyeluruh sekaligus meningkatkan ‘herd immunity’ berbanding pemvaksinan. Malah kesannya hanya bersifat pencegahan individu. Pemilihan rawatan alternatif/suplemen dan pemvaksinan merupakan langkah pencegahan, namun telah terbukti pemvaksinan mampu meningkatkan antibodi dan menyumbang kepada perlindungan menyeluruh ke atas kelompok masyarakat sekaligus mempengaruhi  status kesihatan awam keseluruhannya dan bukan hanya melibatkan individu. Dalam konteks ini, Islam lebih menekankan kepentingan maslahah umum berbanding manfaat peribadi, maka usaha pemvaksinan lebih menepati objektif syariah itu sendiri.
Polemik penolakan vaksin secara tidak langsung akan melibatkan proses membuat keputusan yang adil bagi pihak ibu bapa terhadap status kesihatan anak-anak mereka. Pelbagai faktor yang akan mempengaruhi pilihan ibu bapa untuk menolak vaksin secara total atau menerima sesetengah jenis imunisasi untuk anak-anak. Ibu bapa yang menolak, menganggap vaksin mungkin berfungsi sementara waktu sedangkan anak-anak mereka terpaksa mengharungi kesan sampingan yang berpanjangan seperti alergi, demam akibat suntikan dan ini akan memudaratkan kesihatan anak-anak. Tetapi dari sudut yang lain, dilihat bahawa meninggalkan pemvaksinan akan memberi kemudaratan yang lebih besar di mana kanak-kanak terdedah kepada risiko penyakit yang hanya boleh dicegah melalui vaksin dan akan mengundang maut.
Tercetusnya pertembungan dua kemudaratan ini perlu dinilai implikasinya mengikut kaedah fiqh yang mengenepikan mafsadah yang lebih besar risikonya. Di antara dua kemudaratan tersebut, pengabaian dalam pengambilan vaksin lebih menatijahkan risiko yang besar kerana melibatkan kematian berbanding mudarat kesan sampingan daripada pengambilan suntikan vaksin yang hanya bersifat sementara. Hal ini perlu dicermati oleh ibu bapa sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan vaksin.
Dalam isu pemvaksinan, timbul juga percanggahan antara kemaslahatan dan kemudaratan, kesan daripada pendapat dan persepsi beremosi dalam kalangan ibubapa. Keengganan mereka yang berpaksikan hujah agama mencetuskan kesangsian terhadap usaha pemvaksinan. Segelintir ibu bapa menolak vaksin dengan alasan untuk mengelakkan daripada mengambil sumber haram (unsur babi) dan juga cenderung mengamalkan ‘makanan sunnah’. Pendapat ini mempunyai sisi kebaikannya. Namun, masyarakat perlu meletakkan kepercayaan kepada pihak berautoriti menjalankan tanggungjawab mereka memastikan vaksin daripada sumber halal dan selamat.  Sandaran ini akan memberi ketenangan fikiran dan langkah tersebut juga bertujuan demi kemaslahatan umat Islam itu sendiri. Amalan pemakanan Sunnah dan pengambilan makanan tambahan adalah salah satu usaha yang baik dalam memelihara kesihatan, tetapi pergantungan kepadanya semata-mata tidak mampu mengelakkan penyakit cegahan vaksin. Oleh itu, dalam hal ini menolak kemudaratan yang lebih besar adalah perlu didahulukan kerana pengabaian pemvaksinan akan melibatkan risiko kematian. Maka, pemberian vaksin perlu diutamakan dalam konteks ini selari dengan kaedah fiqh iaitu menolak mafsadah didahulukan daripada meraih maslahah.
Sesetengah ibu bapa sukar untuk menilai tahap keterukan penyakit cegahan vaksin disebabkan penyakit tersebut masih lagi dalam fasa kawalan dan menganggap ancamannya tidak terlalu memudaratkan kehidupan mereka. Mereka juga keliru antara langkah pencegahan atau perubatan. Vaksin merupakan satu langkah pencegahan khusus sebelum berlakunya penyakit tersebut dan memberi perlindungan imuniti manakal suplemen pula mampu meningkatkan daya pertahanan badan secara umum. Maka, kekeliruan ini perlu diatasi dengan merujuk kepada pihak yang berautoriti dan pakar yang berkelayakan untuk mengelakkan salah faham dan pengabaian dalam pengambilan vaksin yang boleh mendatangkan risiko kehilangan nyawa.
Penelitian dan penjelasan berkaitan vaksin menerusi perspektif maqasid syariah mampu merungkaikan dilema masyarakat pada hari ini. Ini menunjukkan bahawa Islam itu syumul dan mampu menyediakan jalan penyelesaian dalam isu kontemporari disokong dengan kajian dan pembuktian secara ilmiah. Justeru, golongan agamawan dan profesional kesihatan seharus mengambil peranan untuk menyalurkan ilmu dan saling melengkapi antara satu sama lain dalam usaha meningkatkan kadar imunisasi dan kefahaman masyarakat. Malah menjadi tanggungjawab bersama untuk menerangkan kepada individu/masyarakat dalam membuat keputusan menerima atau menolak vaksin dengan mengaplikasi pemahaman agama dan maqasid syariah supaya tidak menyebabkan kekeliruan dan salah tanggapan. Kesepakatan antara dua golongan tersebut dapat menghubungkan ilmu dan maklumat yang sahih dan berfakta demi kepentingan masyarakat.

SUMBER: IKIM

loading...

0 Response to "VAKSIN?! Pandangan vaksin menurut islam. PERLU BACA!!"

Post a Comment